Friday, April 25, 2014

Cerita 3

Biar Dekat Biar Cepat

Sedikit sentuhan perhatian,
melimpah-ruah kasih sayang diterimanya.

Lelaki itu menarik kerusi di hadapan kami dan kemudian duduk. Dia menghembuskan nafas seolah-olah melepaskan kepenatan. Satu jam 30 minit berbaki sebelum azan maghrib, sebelum kami berbuka puasa.

     Lelaki itu kemudian mencondongkan tubuhnya ke hadapan dan bercerita. Mula-mula dia bercerita perihal kerjanya pada bulan puasa. Kemudian, bercerita perihal kerjanya esok. Sambung pula bercerita soal keluarga.

     Dia menggosok-gosok keningnya, kemudian mengurut kecil pada bahagian dahi dengan dua jari, lalu bercerita, " Apabila saya fikirkan, kita tidak mampu melebihi apa yang ayah kita lakukan. Meskipun kita sudah bergelar ayah. "

     Saya mendiamkan diri.

     Dia menyambung cerita, " Saya masih ingat bagaimana ayah menjaga adik kami. Perkara yang membimbangkan dirinya adalah apabila anak jatuh sakit. Demam sebelum usia tujuh tahun mungkin memberi kesan kepada saraf dan berisiko mengakibatkan kecacatan."

     Saya mendiamkan diri.

     Dia memandang dengan dua jari masih di dahi, "Ayah sentiasa memastikan setiap malam anaknya yang demam akan tidur bersamanya. Dia menjadikan lengan sebagai bantal kami. Biar rapat, biar dekat. Ada petua yang ayah aalkan."

     Saya mendiamkan diri.

     Dia menunjukkan lengan kanan dan meneruskan cerita, " Berbantalkan lengan ayah, memudahkan dia tahu keadaan anaknya. Apabila suhu badan anaknya naik, terasa pada lengan dan dia mudah terjaga daripada tidur. Cepat sahaja dibawa bertemu doktor."

     Saya mendiamkan diri. Apa yang mahu saya tambah daripada ceritanya?

     Dia mengangkat wajah, melihat siling, dan menambah ayatnya sendiri, " Ayah dahulu, cepat sahaja apabila anaknya memerlukan dia di sisi. Itu yang tidak dapat saya tandingi."

     Berbantalkan lengan ayah, biar dekat, biar rapat. Biar selamat si anak.


Prinsip Hidup Mengingati dan Diingati
Kasih sayang tidak memerlukan modal yang besar bagi
diterjemahkan dalam hidup. Sedikit perhatian dan perbuatan 
memberi  kesan berpanjangan kepada diri penerima. Kasih 
sayang ketika kecil adalah album kenangan ketika dia dewasa.
Sedikit yang bermakna lebih baik daripada banyak yang
memuakkan.



Wednesday, April 2, 2014

Cerita 2

Tuk! Tuk! 
Abang Bisu Bercakap

Cukup serba serbi tidak bermaksud dapat melakukan semua perkara.
Cukup normal belum pasti menyentuh hati manusia

Kami dibesarkan di rumah anak yatim. Apabila disebut yatim, ada yang menyebut kami tiada ibu ataupun bapa. Apabila dikatakan yatim piatu, maka kami kehilangan kedua-duanya.

     Orang di luar tidak tahu ada penghuni di sini pun masih ada ibu dan bapa. Ada yang ditinggalkan di rumah ini kerana ibu bapa tidak dapat menampung kehidupan anak-anak.

     Selalu orang berkata, " Si miskin anaknya ramai, si kaya anaknya seorang sahaja. "

     Pemilik rumah ini dipanggil Ummi. Kerap kali Ummi berkata, " Kita miskin ketika kecil kerana Allah akan memberi kekayaan apabila kita besar. Tetapi, kita perlu berusaha dan sabar. "

     Ummi menjadikan rumahnya sendiri sebagai rumah tempat kami membesar.

     Sedikit biaya sumbangan orang ramai menghidupkan elektrik, menjadikan air terus mengalir dari pili, dan terus mengenyangkan perut kami. Biaya yang sama menjadi nyawa pendidikan kami.

      Ada kalanya, Ummi mengeluh apabila datangnya sumbangan melimpah ruah. Bukan kerana Ummi tidak mahukan sumbangan, tetapi yang memberi sumbangan itu tidak tahu apa yang penting bagi sebuah rumah anak yatim.

     Apabila orang korporat datang pada bulan Ramadan, mereka membelikan kami baju raya. Setiap tahun, baju raya sentiasa baru. Cuma, ada kalanya kami memandang almari, melihat baju sekolah berwarna putih yang semakin kuning. Tahun baru tidak bermaksud baju baru kepada kami.

     Mujur tidak ada yang gemuk dalam kalangan kami, maka baju masih muat dipakai.

     Apabila orang korporant datang ke rumah, mereka memberi banyak bekalan makanan. Orang korporat menunggu bulan puasa supaya kami banjir dengan sumbangan. Disebabkan terlalu banyak, ia jadi membazir. Beras hampir rosak kerana lama tidak digunakan. Stor sudah menjadi gudang beras.

     Mungkin ini sebabnya Ummi selalu berpesan kepada kami, apabila mahu membantu, katakan, " Bantuan apa yang diperlukan? "

     Sekiranya majlis berbuka puasa, makanan di hotel memang enak. Kami tidak membantah, tetapi terlalu banyak makanan yang tidak mesra lidah kecil kami. Lebih banyak yang tidak dimakan dan kemudian menjadi hiasan di atas meja makan.

     Selepas itu, anak-anak yatim diberikan duit raya oleh mereka di atas pentas. Pada malam yang sama, apabila pulang, anak-anak yang kecil akan mengalah kepada yang besar. Duit raya mereka diambil semua ataupun sebahagian.

     Namun, dalam kalangan abang besar di rumah anak yatim ini, ada seorang yang digeruni, baik yang kecil mahupun yang sebayanya.

     Dia dipanggil Abang Bisu.

     Ya, benar dia sememangnya bisu. Sejak kecil sehingga sekolah menengah, dia yang mengawal sikap mereka yang tua yang mengambil duit raya si kecil di rumah anak yatim ini.

     Abang Bisu memanggil saya Renek kerana saya paling kecil dan muda di rumah ini.

     Bukankah dia bisu, bagaimana pula dia memanggil saya Renek?

     Abang Bisu akan meletakkan tangan kanan ke bawah menunjukkan ketinggian paras pinggang sebagai cara dia memanggil saya dari jauh sebelum melambai.

     Ada kalanya dia berdiri di sisi pokok bunga yang ditanam Ummi, sekali lagi dia meletakkan tangan ke bawah menunjukkan ketinggian pokok bunga yang renek sifatnya itu.

     Sehingga saya sudah sekolah menengah dan tinggi pun masih gaya yang sama ditunjukkan apabila memanggil saya.

     Saya curiga kepada Abang Bisu, sama ada dia benar-benar bisu ataupun mendiamkan diri sahaja. Mungkin juga dia sudah terlupa bagaimana cara bercakap.

     Antara saya dan Abang Bisu, kami ada persamaan, kami suka mengambil gambar. Pada kami, cerita pada gambar itu lebih penting. Seninya mungkin tidak ada. Kami berdua amatur dan tidak meluangkan masa bagi mendalaminya.

     Saya pernah merungut kepadanya, " Kamera kita murah, tidak secantik gambar yang diambil daripada kamera berharga beribu-ribu. Lihatlah! " Pantas tangan saya menunjukkan kamera yang masih menggunakan dua biji bateri.

     Saya merungut dengan sifat kamera yang murah itu. Walhal kamera itu dibeli oleh Abang Bisu.

     Abang Bisu memberitahu dengan perbuatan yang mudah.

     Dia membawa saya keluar rumah. Di luar masih ada kepingan papan dan paku yang masih belum dimasukkan ke dalam stor.

     Abang Bisu mula menukul paku pada papan menggunakan dua jenis tukul. Satu tukul baru yang keseluruhannya dibuat daripada besi, Lebih berat dan padat. Manakala, satu lagi tukul lama milik mereka. Kepala tukul diperbuat daripada besi, pemegangnya daripada kayu. Kepala tukul sudah longgar dan apabila lama digunakan, akan tercabut.

     Tuk! Tuk! Tuk!

     Sebatang paku dimasukkan ke dalam papan satu lagi bersama. Tukul besi digunakan mebgetuk paku ke dalam. Kemudiaan, paku itu bengkok.

     " Lihat! Tersalah sudut, bengkok paku dibuatnya, " kata saya kepadanya.

     Dia hanya senyum dan menukar tukul baru kepada tukul buruk. Kali ini sebatang paku lagi diketuk pada papan yang sama.

     Tuk! Tuk! Tuk!

     Saya menjarakkan diri, takut-takut kepala tukul tercabut dan melayang. Paku yang diketuk terbenam lebih dalam dan kemas di atas papan. Tidak bengkok seperti paku yang pertama tadi.

     Abang Bisu meletakkan kedua-dua tukul di atas lantai.

     Saya melihat kedua-dua tukul, " Bukan tukul yang memberi hasil terbaik, tetapi pemukulnya. Paku mungkin bengkok walaupun menggunakan tukul yang mahal. Paku mungkin diketuk kemas meskipun tukul yang digunakan tukul yang murah. "

     Saya diam sebentar sebelum menyambung kata, " Si pemukul itu sendiri lebih penting berbanding tukul. "

     Klik! Klik!

Saya tidak mempunyai sekeping pun gambar ketika sekolah rendah. Ini menjadikan saya berasa rugi kerana memori ketika sekolah rendah langsung tidak ada.

     Mungkin itu sebabnya saya suka mengambil foto sejak di sekolah menengah.

     Sekali lagi kamera Abang Bisu saya pinjam. Sesetengah gambar yang menarik, saya hantar ke kedai dan mencetaknya, kemudiaan disimpan ke dalam album.

     Abang Bisu menyelami dunia remaja saya. Setiap kali saya ke sekolah pada waktu pagi, Abang Bisu akan masuk ke bilik dan membelek satu persatu album gambar saya di atas meja.

     Selama ini saya tidak terfikir Abang Bisu akan masuk ke bilik di tingkat atas dan membuka album gambar. Saya kira tidak ada apa yang menarik. Tetapi, itu adalah cara Abang Bisu berkomunikasi dengan saya selama hayatnya.

     Apabila ada satu dua perkara yang kurang senang di matanya, dia menegur saya tanpa memberitahu daripada mana dia mendapat maklumat.

     Abang Bisu akan menulis di atas kertas kecil dan diselitkan di dalam poket baju sekolah. Seawal pagi apabila saya ke sekolah, baru saya sedar sehelai kertas kecil sudah semalaman tidur di dalam poket.

     Sekeping nota bertulis ayat, " Motosikal itu hak orang lain. "

     Saya menggaru-garu kepala memikirkan motosikal mana yang dimaksudkan. Selepas membelek album gambar, rupa-rupanya Abang Bisu menegur gelagat saya menaiki motosikal orang lain sekadar mahu mengambil foto.

     Saya teruja melihat motosikal itu.

     Tanpa izin, motosikal itu saya sentuh, mampu mengundang amarah pemiliknya sekiranya saya cuai dan tercalar pula. Abang Bisu bimbangkan hal-hal itu.

     Diam Abang Bisu itu bukan tanda tidak peduli, dia rancak bercakap dengan nilai didikan tersendiri. Mulutnya diam, fikiran ligat berfikir apa yang terbaik untuk kami.

     Kami kerap berkomunikasi melalui gambar dan tulisan yang saya tampal pada dinding. Dia tahu apabila saya hilang semangat. Cukup dengan membaca poster yang saya hasilkan sendiri di dinding bertulis, " Ayuh! Bangkit sekarang, kamu tidak lemah!"

Ketika saya mula belajar berniaga di jalanan bagi menampung kos persekolahan selama dua tahun, Abang Bisu tidak memberi respons apabila saya meminta pandangannya.

     Dia melihat dari jauh, ketika saya masih terkial-kial berlatih memasukkan air dan mengikat bungkusan air sebagaimana penjual di tepi jalan lakukan.

     Diambilnya plastik bungkusan air daripada tangan saya, diisikan air dari pili dan diikat. Abang Bisu menunjukkan sahaja tanpa bercakap apa-apa. Kemudian dia berlalu, saya belajar daripada apa yang saya lihat.

     Itulah komunikasi kami.

     Sehinggalkan saya masuk universiti, tingkah lakunya yang teruja mengangkat kotak buku dan barang milik saya dari kereta ke bilik cukup memberitahu dia gembira. Dia begitu marah apabila saya mahu mengangkat barang dari bonet kereta. Dia menepis tangan saya yang cuba mengangkat beg dan kotak.

     Saya duduk di hujung katil dan memerhatikan.

     Siapakah Abang Bisu, adakah dia anak yatim seperti kami?

     Abang Bisu adalah anak Ummi. Dia terus dewasa disitu. Selepas Ummi meninggal dunia, Abang Bisu menguruskan rumah anak yatim ini. Abang Bisu masih di rumah yang sama, kami yang sudah dewasa meninggalkan dia yang masih diam di ditu.

    Tetapi diamnya itulah yang berbekas di hati kami.

Prinsip Hidup Mengingati dan Diingati
Abang Bisu tidak memaksa dirinya 'bercakap' supaya diingati.
Cukuplah perbuatan yang muncul pada waktu memerlukan, 
sudah memberi kesan mendalam kepada orang lain. Baik 
berbentuk analogi, tulisan, mahupun perbuatan

Tuesday, April 1, 2014

Cerita 1

Teh Pengaruh, Semakin Diteguk
Semakin Diingati

Hakikat kematian menunjukkan, ingatan itu berpanjangan ataupun
separuh jalan.

Kami sudah berjiran hampir dua tahun, tetapi jarang berbual lama. Kebetulan, hari itu cuti umum. Saya melihat dia duduk di hadapan rumah seorang diri.

     Lambaian tangan saya disambut senyuman manis. Dia memanggil saya dengan bahasa tangannya. Itu pertama kali saya ke rumahnya selepas dua tahun di sini.

     Dia mempelawa saya menikmati segelas air suam yang dihidangkan. Saya yang datang sebagai tetamu di rumahnya pada petang itu berasa kekok dan janggal dengan layanan yang diberikan.

     Apakah tetamu dihidangkan dengan segelas air suam sahaja?

     Dia dapat melihat kejanggalan yang terpamer jelas pada wajah dan gerak tubuh saya.

     Dia senyum sahaja, " Jemputlah minum air itu, " pelawanya tanpa mempedulikan respons saya.

     " Mahu air teh? Saya boleh sediakan. " Dia bertanya sambil melihat saya meminum hampir separuh gelas air suam.

     Saya mengangguk. " Boleh sahaja. "

     Dibuka pek yang mengandungi 12 uncang teh. Dimasukkan satu uncang ke dalam cawan. Air panas dicurahkan perlahan. Bau teh dan tekstur warnanya kelihatan jelas. Saya sudah tidak sabar menikmati teh yang dihidangkan.

     " Silakan, " dia mempelawa saya minum bersama.

     Sekali lagi saya berasa aneh dengan sikap jiran saya ini. Dia mempelawa teh, tetapi tidak dimasukkan sesudu gula sebagai pemanis. Mungkin dia menyangka tetamunya menghidap penyakit kencing manis. Mungkin kerana itu dia mempelawa saya minum air suam dan teh tanpa gula.

     Jiran iti kemudian bertanya, " Mahu gula? "

     " Ya, sesudu sudah mencukupi, " balas saya. " Aduh, barulah terasa enak hidangan teh ini, " kata saya sambil menghirup perlahan-lahan.

     " Sekiranya mahu rasa enak, campur sedikit susu cair. Ia tidak manis, tetapi teh susu cair lebih pekat tanpa rasa manis keterlaluan, " pelawanya.

     Jawab saya segera, " Ya, benar. Itulah resipi di warung-warung kopi, " sambil menyuakan cawan untuk diisi sedikit susu cair.

     Selesai minum teh, kami kembali berbincang. Walaupun kami lama berjiran, tetapi kami jarang bertemu muka. Makin lama makin dilupai sekiranya tidak bertegur sapa.

     " Bagaimana cara supaya kita sentiasa diingati? " Saya bertanya apabila mengenangkan sekiranya dia berpindah dan saya bertemu jiran baru pula selepas ini.

     Dia menjawab dengan bertanyakan soalan, " Saya pelawa tetamu saya sekadar air suam, kemuadian teh tanpa gula. Kemudian saya isikan gula dan sedikit susu cair. Apa perasaan saudari? "

     Saya menjawab, " Sudah pasti semakin lama rasanya semakin sedap. Mula-mula tawar, kemudian manis sedikit, dan rasa lemak susu cairnya. " Tangan kanan saya masih memegang cawan yang berisi.

     " Jiranku, begitulah diri kita akan diingati, " kata wanita itu.

     Dahi saya berkerut, tidak dapat saya memahami maksudnya. " Bagaimana? "

     " Ingatan seseorang datang daripada pelbagai sumber. Apabila diadun seimbang semua sumber itu, semakin kuat, matang, dan semakin mendalam ingatan itu. Ia tidak berdiri sendiri tanpa unsur-unsur lain yang datang melengkapi. Ingatan kita kepada seseorang yang kosong isinya, rasanya samalah macam air suam tadi. Ingatan yang matang dan mantap isinya, samalah seperti secawan teh yang lengkap segala macam isinya, " jawabnya panjang lebar.

     Saya bertanya dalam nada jenaka, " Dari mana datangnya gula dan susu yang memekatkan lagi adunan teh ingatan? "

     Dia mengeluarkan sekeping kertas dan dilakarkan sebuah imej, sama seperti gelas. Dibahagikan isi gelas itu kepada beberapa bahagian.

     Kemudian, dia memberi tujuh pesanan penting kepada tetamunya sambil mengetuk mata pen pada lakarannya, " Ketahuilah saudaraku, ingatan kita kepada seseorang berkembang keranay adanya mana-mana tujuh ciri ini. "

Ilmu Pengetahuan
Rekod Kejayaan
Pengalaman
Kebolehan
Rangkaian
Gerak Hati
Karakter

Wanita itu menghirup sedikit air daripada gelasnya dan memandang saya, " Masih ingat nama guru saudari di sekolah? "

     Segera saya mengiakan, " Sudah pasti, meskipunsudah 21 tahun saya meninggalkan sekolah. Namanya Cikgu Rejab, guru yang mengajar kami subjek sejarah. "

     " Mengapa kamu mengingati namanya sehingga sekarang? " soal wanita itu.

     Balas saya, " Saya mengingatinya kerana dia menjadikan saya teruja dengan subjek sejarah yang saya sangka susah dihadam oleh fikiran. Malah, saya masih ingat formula mengingati tarikh peristiwa yang diajarnya. "

     " Bukankah kerana pengetahuannya menjadikan dia diingati sehingga sekarang? " soalnya lagi.

     Saya terdiam.

     Wanita itu mengisi cawan saya yang sudah kosong. Kemudiaan dia memohon izin, " Bolehkah saya bertanya lagi? "

     Saya mengangguk.

     " Masih ingat siapakah orang pertama yang menjejaki bulan? "

     " Mudah sahaja. Sudah pasti Neil Armstrong! "

     " Masih ingat siapakah orang pertama yang mencipta telefon? "

     " Alexander Graham Bell. "

     " Masih ingat siapakah Ibnu Sina? "

     " Beliau adalah tokoh perubatan Islam, dikenali sebagai Avicenna di Eropah. Buku perubatan beliau, ( Al-Qanun Fit-Tibb ) menjadi rujukan. "

     " Bagaimana kamu dapat mengingati semua ini? "

     " Sudah pasti kerana kejayaan mereka. " Yakin jawapan yang saya berikan.

     Wanita itu mengangguk, menunjukkan perkataan pengetahuaan dan kejayaan pada lakaran. Kemudian, dia menunjukkan kelima-lima jarinya, maksudnya ada lima lagi tidak dihuraikan. 

     Wanita itu kembali bersuara, " Jiranku, dalam kehidupan ini, kita akan bertemu dengan orang yang mempunyai ciri-ciri ini. Itu baru dua, belum selebihnya. Lihat dan renungkan. Pelajari dan ambil sebagai pelengkap. Mudah-mudahan dalam diri berkembang menjadi pemudah cara hidup kita dan orang lain. "

     Sebaris senyuman daripadanya yang menunjukkan keyakinan yang saya dapat melakukannya.

     Belum lama senyuman di bibir, cepat-cepat dia menyambung, " Ingatan itu tanda kita juga berpengaruh. "

Prinsip Hidup Mengingati dan Diingati
Manusia diingati kerana tujuh perkara. Diingati kerana ilmu
pengetahuaan, rekod kejayaan yang dikecapinya, pengalaman
terdahulu, kebolehan yang mencipta keterujaan, rangkaian
yang dikenali, karakternya yang magnetik, dan gerak hati yang
mengatakan, " Ada sesuatu yang menarik berkenaan dirinya. "


Cerita dari Syurga